Usia

by Mutiara_elFateh


Hari demi hari berlalu pergi,
Siang dan malam silih berganti menguasai bumi,
Pepohon di laman mekar di bawah teriknya mentari,
Siulan burung menjadi teman di pagi hari.

Hari ini, pada tanggal ini,
Bukanlah kelahiran yang ingin kau rayakan lagi,
Bukanlah ucapan jam 12 malam yang kau tagih pasti,
Bukanlah juga lambakan hadiah yang kau ternanti-nanti.

Hari yang ditunggu menjelma lagi,
Kini kau sedar, usia yang dititip Tuhan masih berbaki,
Makin hampir dengan kematian yang menjadi ngeri,
Pelbagai kenikmatan yang terpaksa dilepas pergi.

Dengan angka usia yang selama ini kau huni,
Kau mencintai, Kau merasai, Kau menikmati,
Akan setiap detik yang menjadi saksi,
Disulami mehnah yang sentiasa berada di sisi.

Dengan sejumlah usia yang masih tersisa rapi,
Kau belajar bahawa semua orang bisa dewasa sendiri,
Namun, apakah erti sebuah kematangan hakiki,
Jika hanya berlayar dalam kehidupan bagai sebuah mimpi?

Dengan tempoh usia yang dipinjam Ilahi,
Kau menelusuri perjalanan yang semakin sepi,
Cuba memaknai setiap kejadian yang menimpa diri,
Kerana kau sendiri yang menjadi raja untuk mengecap cita tertinggi.

P/s: Puisi in telah dikongsi oleh penulis di laman blognya, mutiaraelfateh.blogspot.com (klik di sini)

Comments

Popular Posts