Hadiah Dari Langit

by Ismie_Hazira


Daripada Tuhan pasti didatangkan hadiah-hadiah

Pada sahabat yang jujur hatinya memapah

Pada jiwa yang sungguh-sungguh bertabah

Pada pengharapan yang bermati-matian tidak kunjung lelah


Malam ini sekali lagi dia memilih untuk bersendiri, mengurung perasaan dan mengunci perkataan daripada bibir yang pelan kering. Pada tangannya ada sehelai kertas, atau lebih tepatnya sehelai inventori yang diambil dari bilik kaunseling seminggu yang lepas. Inventori itu berisi soalan-soalan untuk mengukur tahap stres dan tekanan yang dihadapi oleh mana-mana individu yang merasakan mereka mempunyai masalah, dan mereka mahu mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Seperti dia.

“Hah,” Nafas panjang dihela, terasa ada udara hangat yang keluar daripada rongga mulut lalu dilepaskan ke udara.

Dari corong pembesar suara surau, kedengaran kuliah maghrib yang dijadualkan saban malam untuk perkongsian bersama-sama para siswa siswi Kolej Bestari ini. Kebiasaannya, Atikah akan menyertai majlis ilmu sedemikian, tetapi tidak malam ini. Dia lebih memilih untuk duduk mengambil angin di bangku taman bersebelahan Makmal Kimia di sini, sebelum perjumpaan bersama ahli usrah setengah jam dari sekarang.

Nafas panjang dihela lagi. Atikah bungkam. Telefon pintarnya dikeluarkan dari kocek baju sejuk yang tersarung pada tubuh, dibuka kunci skrin sebelum jari jemari pantas melirik kepada senarai lagu di fail muzik. Satu ikon dengan gambar kumpulan Rabithah ditekan. Telefon pintar kemudiannya diletakkan di atas meja, digelapkan skrin sebelum dia bersandar pada bangku kayu kuning itu.

“Pernah aku rasa di hatiku,

Sesuatu yang ku pun tidak tahu,

Seolah kosong inginkan sesuatu,

Lalu ku termenung

Mencari jawapannya

Agarku mampu tenang

Akhirnya aku menangis

Hatiku pedih,”

Ada sesuatu yang mengganggu perasaan sebenarnya, sehingga menyebabkan dia tidak boleh memberikan tumpuan pada beberapa perkara yang utama. Hati terasa lirih, terasa pedih dengan segala ujian yang seakan menggigit jiwa. Tahun 2017 telah menemui penghujung dua hari sebelum dia tiba ke kolej untuk menyambung semester seterusnya. Dan tahun itu, padanya adalah tahun yang sangat sukar. Diuji dengan perkara-perkara yang dia tidak sangka atau tidak pernah terfikir. Diuji dengan kasih sayang dan cinta dalam keluarga yang semakin pudar dan tawar saban masa.

Kemudian apabila tahun 2018 menjengah datang, dia mahu segera kembali menjadi dirinya yang lama. Bersemangat. Suka kepada perkara-perkara yang mencabar potensi diri. 2018 mungkin tahun yang baru, tahun yang sebenarnya dia berazam untuk buang jauh-jauh semua perkara yang melukakan. Cuma hari ini, serasanya azam baru itu telah pun lumpuh.

Kalau orang lain, boleh jadi perkara yang melukakan ialah pointer keputusan semester lepas rendah atau tidak boleh menyertai rakan-rakan kelas untuk rombongan bercuti sebelum bermula semester baru. Tapi kepada diri seorang Atikah, ada suatu perkara yang betul-betul menguji, seperti dihempapkan batu besar di atas bahu, berat dan meletihkan.

Keluarganya. Adalah perkara yang benar-benar melukakan kepada dia. Tindakan bapanya yang menggantung ibunya tanpa bertali tiba-tiba pada suatu subuh yang hening. Yang semenjak hari itu, nafkah zahir langsung tidak diberikan kepada keluarga, bapanya menghilang begitu saja. Dengan keadaan ibu yang tidak bekerja, dengan adik beradik yang masing-masing masih lagi bersekolah dan memberontak memerlukan belanja. Semuanya berlaku sekelip mata, menjadikan dia juga seperti hilang tidak tahukan punca salahnya dari mana. Kucar-kacir jadinya satu keluarga dengan tindakan seorang bapa secara tiba-tiba.

Sepatutnya, keluarga adalah rasa cinta. Keluarga adalah rasa bahagia. Keluarga adalah pengorbanan tanpa berkira. Keluarga adalah ketawa bergurau senda. Keluarga adalah bersama-sama berlapar dan dahaga. Keluarga adalah mendamaikan, melapangkan, dan menyenangkan. Seperti keluarganya sebelum tragedi subuh yang hening itu berlaku.

Begitulah. Pensyarah suatu masa dahulu di dalam kuliah pernah saja mengatakan, “Lebih dalam rasa sayang kita pada seseorang di dalam sesuatu hubungan, lebih dalam luka dan kenangan kita akan rasa.”

Atikah menyeka air mata yang mengalir dari hujung mata ke pipi. Rasa rindu kepada hangatnya hubungan sebuah keluarga seperti menyengat jiwa. Rasa ternanti-nanti supaya bahagianya keterikatan antara ahli keluarga untuk datang semula.

“Cuba kau bayangkan

Bayangkan dengan mata hatimu

Apa yang kau rasa

Terjatuh di dalam lubang yang sama

Berulang-ulang kali

Kau tetap tewas.”

Ya, mungkin juga dia tewas dengan cinta yang pernah terlampau tinggi kepada keluarganya. Tidak pernah dia jangka bahawa sebuah ikatan keluarga yang dia sangat cinta akan terlerai sebegitu rupa.

Helaan nafas panjang dan berat berganti-ganti dengan deruan angin dingin memeluk tubuh. Inventori yang dipegangnya awal tadi diselitkan di bawah telefon pintar, tanpa diisi

Atikah kekal senyap terkaku di bangku usai lagu Jalan Keluar itu tamat. Teringkatkan pertemuan sejenak dengan Aina di kafe sebelum dia bergerak ke kawasan Makmal Kimia itu tadi.

‘Kau ada masalah apa ni? Ceritalah dengan aku.’

Dia sekadar menggeleng bisu. Sapaan Aina cuma dibalas dengan tolakan jari yang lembut, dan senyuman yang tawar. Kasihan Aina. Rakannya itu sama sekali tidak pernah akan membiarkan bila-bila yang dia nampak seperti dalam kesusahan, atau tidak ceria. Pasti akan ditahan untuk bertanya, disapa untuk menjemput ketawa, atau ditegur untuk memunculkan senyuman. Sama sekali tidak akan pernah.

Kebiasaannya Atikah bukan sengaja menunjukkan muka yang muram kepada Aina. Mungkin cuma kebetulan, bahawa bila-bila masa yang dia rasa suram, Aina pasti berada berdekatan. Seperti perjalanan dari kolej kediaman ke sini yang terpaksa melalui kafe sebagai kawasan penghubung antara dua bangunan itu. Atikah langsung tidak tahu bahawa Aina berada di dalam kafe, atau tidak langsung menjangka akan diterpa dari belakang seperti tadi.

Aina merupakan rakan sejurusannya daripada semester satu lagi, sama kelas tetapi bukan sama bilik. Cuma, Atikah suka dan senang berkawan dengannya.

Aina kepadanya, seperti secawan coklat panas yang diteguk perlahan-lahan semasa cuaca dingin membaluti tubuh. Semakin sejuk cuaca, semakin enak rasanya berlama-lama dengan secawan minuman panas berasap nipis. Menghangatkan. Aina begitulah,teringatkan susuk tubuh Aina yang kecil, hati boleh menjadi lapang. Atau bila-bila yang dia teringatkan senyuman Aina yang manis, hati boleh bertenang.

Nikmat bersahabat, mungkin?

Dengan tidak semena-mena jam loceng berbunyi menandakan masa sudah menghampiri jam 9.25 malam. Lima minit sebelum ke surau. Atikah bingkas dari bangku kayu, melipat inventori tadi kepada dua bahagian kecil sebelum menyimpannya ke dalam kocek.

“Tenang Tikah. Awak boleh hadap ni,” Nafas panjang dihela berat untuk kali yang kesekian.

Usrah.

#

“Jadi, Aina. Ada apa-apa perkongsian sebelum kita habiskan sesi usrah kita hari ini?” Suara seorang perempuan berkaca mata, dengan tudung merah jambu polos sebagai ketua atau naqibah kepada usrah, memecahkan lamunan Aina dari memandang kepada satu susuk tubuh yang baru saja melepasi pintu surau.

“Em. Aina cuma nak kongsi satu cerita. Dan Aina harap ada la manfaatnya pada semua.”Ahli usrah yang lain mengangguk-angguk.

Suasana surau agak riuh dengan cerita-cerita daripada setiap ahli usrah yang dikongsikan di dalam kumpulan, seronok dengan pengalaman bercuti masing-masing.

“Aina tak tahu pula sama ada orang lain pernah rasa atau tak apa yang Aina rasa sekarang ni. Tapi, untuk sesiapa yang ada kawan baik, kawan yang rapat, mungkin dia akan terasa benda ni.” Aina menjeda ceritanya. “Aina ada seorang kawan ni, yang Aina rasa ada sesuatu sebenarnya yang mengganggu fikiran dia menyebabkan dia macam bukan dia yang pernah Aina kenal mula-mula dulu.”

Aina perhatikan setiap wajah ahli usrahnya sebelum menyambung, “Kalau korang ingat, Kak Najihah pernah je kongsi dengan kita pasal orang-orang beriman tu bersaudara, pasal orang-orang beriman tu macam bangunan. Bila ada salah seorang yang dalam kesakitan, kita pun akan rasa sakit dia macam mana. Macam tu juga bila-bila yang Aina jumpa dengan dia. Aina dapat rasa ada sesuatu yang menyakitkan dia, tapi untuk Aina, biarlah dia sampai betul-betul percayakan Aina untuk dia luahkan apa-apa.”Kak Najihah sekadar mengangguk membenarkan kenyataan Aina.

“Cuma apa yang Aina nak kongsi hari ini, pendapat Aina tentang apa yang kita boleh buat bila kita tengok rakan-rakan kita susah, sakit, terluka atau sebagainya. Boleh jadi, kadang-kadang bila ada di antara kita teruji dengan izin Allah, kita akan rasa lemah. Kita akan rasa sedih. Kita akan rasa putus asa. Kita tahu ujian tu dari Allah, untuk tengok tahap iman kita, tahap sabar kita. Tapi selalunya Aina paling tak berapa berkenan bila ada orang yang cuba menafikan fitrah bersedih semasa berada dalam ujian.”

“Maksud Aina?” Kak Najihah memotong dengan soalan

“Aina selalu dengar begini kak. Bila ada orang yang tengah ditimpa ujian, dia rasa lemah dan dia menangis. Tapi tiba-tiba datang seorang kawan tegur dia, jangan menangis, jangan mengeluh, nanti jadi melawan ujian dan takdir daripada Allah.”

“Jadi, apa yang Aina tak suka atau tak berkenan?”

“Pada Aina, tak salah kita menangis dengan ujian, sebab kita hamba dan kita lemah. Tak salah kita rasa sedih dan kita rasa kita tak mampu dengan ujian yang tak tertanggung, sebab kita hamba dan kita lemah. Tak salah bila-bila yang kita diuji dan kita rasa putus asa, sebab kita diciptakan Allah dengan nafsu. Nafsu sedih, kecewa, marah, terkilan dan sebagainya. Tapi bersederhana dan berpada-pada. Jangan sampai nafsu sedih kita itu sehingga membentak-bentak marah kepada Allah, menolak ayat Quran tentang sabar, menolak kisah-kisah nabi dan rasul tentang minta tolong dengan Allah dalam kesedihan. Sebab Allah tak zalim, Allah tahu hamba dia lemah, dan sebab itu diciptakan air mata.”Panjang lebar Aina menerangkan.

“Oh, akak faham. Aina tak suka bila-bila ada orang yang datang, rasa tak tertanggung dengan ujian, kemudian dia menangis. Tiba-tiba ada orang datang dan menempelak. Jangan nangis, ini ujian, kena tahan. Macam tu?”

“Yep. Sebab Aina rasa kak, masa-masa yang kita diuji ialah masa-masa kritikal yang akan tolak kita pergi lebih dekat kepada Allah, kalau kena cara. Kita rasa lemah, rasa tak mampu, dan kita sebenarnya tahu semua perkara itu adalah daripada Allah. Cuma kita tiada pendorong untuk tolak kita supaya sedar, kita bergerak untuk mengubah keadaan.”Aina mengambil nafas.

“Tapi kalau ada yang datang pulak, tak bagi kita nangis untuk meluahkan rasa sedih kita tu, pada Aina kita macam buat yang Allah tu tak penyayang, tak pengasih dengan hambaNya. Sedangkan penyayang Allah, lebih daripada segalanya. Sebab pada Aina kak, kita meraikan fitrah manusia, sedih, menangis, marah dan sebagainya, itu sebenarnya yang Islam angkat lebih daripada semuanya. Itukan akhlak, menjaga hubungan dengan manusia.”Semua wajah ahli usrah ditatap satu-persatu

“Kemudian, antara lagi caranya untuk bantu sahabat-sahabat kita yang susah, tak semestinya dengan cara kita beri dalil, kita bagi potongan hadis. Sebaliknya, maksud-maksud daripada dalil dan hadis tu, yang sepatutnya kita ni bila faham, kita pindahkan dalam akhlak kita, masa-masa yang kita mendengar masalah rakan-rakan kita. Maksud pindahkan tu, macam ni. Kita tahu dalam al-Quran Allah sebut, jangan takut dan jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama kita. Dan kalau kita tengok kepada sebab ayat tu diturunkan, sebenarnya Rasulullah masa itu sedang pujuk sahabat, Abu Bakar as-Siddiq yang bimbang dengan musuh yang mengejar, semasa mereka bersembunyi di dalam gua ketika peristiwa hijrah. Rasulullah tahu yang Abu Bakar risau, Abu Bakar gelisah dan bimbang musuh akan tahu mereka sedang bersembunyi. Rasulullah tak marah Abu Bakar ketika itu, bahkan Rasulullah pujuk dengan baik. Jangan sedih, jangan risau, sesungguhnya Allah ada dengan kita.”Sambil menjelaskan, Aina cuba mengekalkan hubungan mata dengan semua ahli usrah bersilih ganti.

“Kalau dalam situasi kita, semasa sahabat-sahabat sedang kesusahan, sedang gelisah, pada Aina yang paling manisnya, peluklah mereka. Biar mereka rasa yang ada sebenarnya orang yang sedang menyokong, orang yang peduli. Dan semasa itu, pujuklah dengan janji-janji Allah, di dalam Quran. Tetapi dalam versi yang kita terjemahkan dengan ayat kita. Contoh la contoh;‘Allah ada, kan?’ ataupun ‘Semua benda ni, akan balik pada Allah, kan?’Ha, begitu.” Kemudian Aina senyum, menghabiskan penjelasannya yang panjang.

Kak Najihah mengangguk–angguk, “Lepas ni, Aina boleh jadi kakak naqibah pulak la. Ganti akak.” Dia mengangkat kening menyakat. Disambut ketawa satu kumpulan usrah.

Sambil itu kedua bola mata Aina mencuri pandang kepada susuk tubuh yang tadi, sedang duduk di dalam kumpulan usrahnya, tetapi masih lagi dengan senyuman yang tawar.

‘Atikah,’

#

“Hah! Buat apa tu?” Aina menolak daun pintu bilik seterika. Atikah ada di dalam, sedang bersiap untuk pakaian ke kuliah keesokan harinya.

“Gosok baju la.” Atikah selagi boleh memaniskan wajah melihat Aina.

“Aina rasa hari ni kan, ada orang tu lain macam la. Macam tak seronok, macam tak ceria.” Dia berdiri dengan posisi membongkok pada papan seterika, menatap tepat bola mata Atikah.

“Orang tu Aina kot. Tikah ok je.”Dia menjungkit bahu, menyembunyikan sesuatu.

“Ye ke. Tapi selalunya naluri Aina ni betul tau. Kena tepat-tepat je dengan sasaran.”

“Takde apa la. Tikah ok.” Dia menghabiskan sisa menghabiskan garisan pada tudung sambil cuba memaksa senyum pada bibir. “Dah siap!”

“Ala, cepat pula siapnya.”Aina mencebik.

“Aina la masuk lambat. Tikah lama dah ada kat sini.”

“Dah habis eh. Jom la masuk bilik, lewat dah ni. Esok masing-masing terlajak subuh.”Aina membelakangi Atikah, menghadap ke pintu.

“Aina, nak salam boleh?”Atikah hulur tangan, mahu bersalaman.

Aina menoleh semula ke belakang. Sempat dia melihat mata Atikah seperti sedang bergenang, dan menunggu masa untuk empangan tangisan itu pecah. Tinggal lima langkah lagi jarak antara mereka, tangan Atikah tidak bersambut, sebaliknya ditarik lembut sahabat itu masuk ke dalam pelukannya.

Dirangkul, dan ditepuk perlahan belakang tubuh sahabatnya itu. Lama masing-masing menyepi, sebelum sendu Atikah memecahkan suasana. Pelukan dikemaskan, Aina terasa hatinya turut sama sebak mendengar tangisan yang lirih.

“Allah tahu Tikah kuat, sebab tu Allah uji.”Atikah menangis malam itu, ditemani Aina yang cuba membumikan perkataannya semasa usrah.

Memberi pelukan, menunjukkan yang dia peduli.

Memindahkan janji Allah, dengan perkataan sendiri, bahawa ujian Allah akan selari dengan kesanggupan dan kemampuan.

“Allah tahu Tikah kuat, sebab tu Allah uji.”Belakang tubuh sahabat itu ditepuk lembut, memujuk dan terus memujuk.

#

P/s: Artikel ini telah dikongsi oleh penulis di www.langitilahi.com (Klik di sini)

Comments

Popular Posts