Hei, Kamu!

by: Ismie Hazira @ Skai




“I choose to fight depression because . . .”

When you’re depressed you don’t control your thoughts. Your thoughts control you. I wish people would understand this.

-HealthyPlace.com

Having anxiety and depression is like being scared and tired at the same time. It’s the fear of failure, but no urge to be productive. It’s wanting friends, but hate socializing. It’s wanting to be alone, but not wanting to be lonely. It’s feeling everything at once then feeling paralyzingly numb.

-HealthyPlace.com

People think depression is sadness. People think depression is crying. People think depression is dressing in black. But people are wrong. Depression is the constant feeling of being numb. Being numb to emotions, being bumb to life. You wake up in the morning, just to go back to bed again.

-HealthyPlace.com

Saya memilih untuk bertarung dengan kemurungan, sebab saya tahu hidup bukan seperti boneka, kosong tanpa perasaan apa-apa.

22 Mac 2018 ialah tarikh keramat yang tak mungkin akan saya lupa. Tarikh yang dengan rasminya pada tangan saya ada kad psikiatri, dengan diagnosis pakar yang saya rasakan sangat melegakan hati, untuk tarik saya keluar dari semua ini.

Ramai orang, mereka tidak faham apa yang dikatakan dengan kemurungan. Stigma masyarakat suka mengatakan yang kemurungan awalnya adalah perasaan yang dilayankan, emosi tidak stabil yang diambil peduli, fikiran tidak rasional yang difikirkan lagi dan lagi.

Kalian, kemurungan bukan dibuat-buat. Kemurungan bukan perkara yang direka-reka. Kemurungan bukan sebab seseorang itu mengada. Kemurungan itu tindak balas, respon diri yang kadangkala diri kita dalam keadaan tidak mampu untuk keluar dari sesuatu masalah. Terkurung, dipasung, digari. Tapi punca kepada masalah itu tidak dijumpai. Suspek yang mengurung, memasung, menggari sama sekali tidak akan ditemui.

Saya boleh angkat tangan menceritakan, sebab saya pernah merasakan bagaimana lemahnya jiwa seorang manusia yang menghidap kemurungan. Cukup-cukuplah dengan satu perasaan kaku yang ada dalam hati, tak tahu mahu rasa apa, tak tahu mahu memberi respon bagaimana, tak tahu hidup untuk apa, tak tahu berpegang kepada apa, tak tahu mengapa semua benda seperti mengecewakan kita, tak tahu mengapa semua benda seperti mencari masalah dengan kita. Kuncinya, tidak tahu.

Persepsi masyarakat perlu dibetulkan. Kemurungan bukan untuk diejek, dihina, dikatakan gila. Pada saya, kemurungan perlu dibantu, dibimbing, disokong, dirangkul, disabarkan, dipujuk.

Bukti? Saya ialah buktinya. Saya yang sekarang ini sudah boleh berhenti meraung dari semua perkara yang saya rasa mengecewakan. Saya yang sekarang ini sudah rasa berpijak semula di atas realiti dan berdiri. Saya yang sekarang ini sedang menaip ini untuk anda, menyokong anda yang merasakan kemurungan itu adalah tali penamat kepada kehidupan.

Seperti yang saya kata, kemurungan adalah suatu keadaan kita dikurung dan dipasung. Dan persoalannya, bagaimana saya keluar dari kurungan konkrit itu? Bagaimana saya memecahkan jeriji itu, meloloskan diri untuk kembali menjadi manusia yang berpijak atas realiti?

Satu, diri sendiri.
Dua, sokongan.

Murung menyebabkan saya rimas. Murung menyebabkan saya hilang minat kepada apa pun aktiviti. Murung menjadikan saya bukan diri saya yang sebenar, terperuk dalam suatu keadaan yang kita tak akan kenal diri kita. Lama juga berfikir untuk menceritakan ini, tapi semoga ada manfaat untuk orang lain, tahap murung saya sudah sampai tahap mencederakan diri, mengelar tangan sendiri berkali-kali. Dan fikiran untuk menjatuhkan diri dari bangunan yang tinggi supaya semua rasa itu akan lekas-lekas pergi, sudah acapkali menyinggah fikiran, mujur Allah menjaga.

Jujurnya, saya memilih untuk melawan depresi, kerana saya rimas berada dalam keadaan saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang jadi kepada diri sendiri. Saya memilih untuk bertarung dengan raksasa depresi, kerana saya takut semakin lama saya semakin lupa kepada yang namanya ketawa, dan bahagia, dalam keadaan orang lain di sekeliling kita sedang menikmati semua itu.

Bercerita dari segi pengalaman, saya pernah disalah diagnosis sebagai pesakit Bipolar Personality Disorder (BPD), diberi ubat yang lebih meruntuhkan semangat saya, tidak makan dan tidak tidur setiap hari itu perkara biasa, rasa dicekik pada setiap malam tetapi tidak mampu meminta pertolongan siapa-siapa itu biasa, masuk ke kuliah dengan badan dan fikiran yang sangat lemah itu biasa, meraung itu biasa, kosong dan lompong dalam hati itu perkara biasa. Sehingga saya dikejarkan ke bahagian kecemasan suatu ketika kerana tidak sedarkan diri. Sehingga saya lari dari institusi sebab sudah tidak mampu lagi berlawan dengan diri sendiri.

Kemurungan akan membawa kita ke tahap yang perlahan-lahan membahayakan diri sendiri saban hari. Dan sebab itu, tidak mustahil kemurungan membawa kepada pembunuhan diri sendiri, terutamanya jika tidak dirawat dan tidak ada yang peduli.
Saya pilih untuk keluar dari kemurungan, kerana ia menyakitkan. Lebih sakit daripada penyakit fizikal, ia meruntuhkan semua proses tubuh badan, menyebabkan kita lemah dua kali ganda dari lemah yang biasa.

Kalian yang membaca, yang mungkin pernah atau terutamanya yang sedang melalui fasa-fasa depresi. Jika anda terbaca ini, anda bukan keseorangan. Anda bukan orang gila seperti yang dimomokkan oleh orang. Anda perlu bantuan. Anda perlu bimbingan. Anda perlu rawatan. Tidak percaya?

Dengan nama Allah, saya ialah bukti.

Kalian, kita tidak pilih untuk menjadi murung. Kita bukan suka-suka melayan perasaan sehingga menjadi murung. Kita bukan mengada-ada mengambil peduli tentang hati sehingga menjadi murung. Semacam cinta, kita tidak pilih untuk jatuh cinta kepada sesiapa. Tetapi kalau cinta itu sudah jatuh, kita perlukan cara untuk menanganinya. Begitu juga kemurungan.

Badan kita, keadaan kita, kita tahu apa yang kena ataupun apa yang tidak kena dengan diri kita. Keluarlah dari jeriji besi yang mengurung kita itu. Loloskan diri dari penjara yang melenyapkan senyum kita, memadamkan ketawa kita, menghilangkan rasa bahagia yang pernah kita ada, yang pernah kita rasa.

Saya memilih untuk melawan depresi, kerana saya mahu merasakan apa itu bahagia, semula.

Sekian. Semoga Allah menjaga kita semua ini, membukakan hati, menganugerahkan seseorang yang mahu ada untuk kita, dan supaya Allah memberikan jalan keluar kepada kita.

Kesabaran dalam ujian itu pahala. Sedang berikhtiar untuk pulih itu usaha.

Semoga Allah redha!


P/s: Artikel ini telah memenangi tempat pertama dalam perkongsian Positive July 2018

Comments

  1. Terima kasih kerana Allah mengurniakan engkau dalam hidup aku. Aku memaknakan hidup apabila aku memerhati engkau.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts