Didikan Seorang Ibu

by Mutiara_elFateh


Ku lihat tepat ke wajahnya,
Ku renung pada sepasang matanya,
Meski sepasang mata itu tertutup rapat,
Namun, sepasang mata itu,
Sedang menangis tanpa ada yang sedar,
Ku mengelus juntaian rambutnya,
Perlahan! Agar tidak mengganggu tidurnya.

Kentalnya dikau memikul tanggungjawab,
Tidak terbayang oleh minda sedarku,
Tabahnya dikau mengharungi mehnah,
Tidak setanding dengan apa yang kau terima,
Tidur malammu ditemani tangisan,
Waktu siangmu ditemani ujian yang pelbagai.

Ibu,
Ajarkan aku agar bisa sekuat dirimu,
Didiklah aku agar mampu tersenyum,
 tatkala jiwa sedang menangis hiba.
Beri tahu aku bagaimana mahu teruskan langkah,
saat kaki ini tidak mampu lagi untuk berdiri teguh.


Ibu,
Aku ingin tahu, 
Apa rahsiamu untuk menjadi seorang wanita yang paling tabah,
Aku ingin tahu,
Bagaimana kau mampu menyembunyikan emosi sebenarmu,
agar tidak terhidu oleh sesiapa pun disekelilingmu.
Aku ingin tahu,
Apa yang kau rasa, saat cekalnya dirimu 
menempuh ranjau kehidupan ini.
Aku ingin tahu,
 kapan bisa aku akan menjadi sepertimu.

Ibu,
Aku lupa,
Aku khilaf,
Aku tidak sedar,
Rupanya, dalam diam,
Dalam dakapanmu yang paling lama,
Dalam perbualan kita sehari-hari,
Dalam nasihat kasih sayangmu yang tiada henti,
Terselit semua yang ku harapkan tadi.

Namun mengapa aku masih meminta?
Mengapa aku tidak sedar semua itu?
Mengapa aku masih aku?
Yang tiada perubahan walau sekelumit pada diri.
Yang katanya mahu jadi hebat seperti dirimu.
Maafkan aku ibu,
Dalam setiap butir bicaramu,
Terselit mutiara berharga yang tidak setanding nilainya.

Ibu,
Aku cuma sedar satu,
Semua telah kau ajarkan buat diri,
Dari segi spiritual, intelek, rohani,
fizikal dan sebagainya,
Akan tetapi yang satu ini,
Kau takkan pernah ajar untuk aku,
Juga tidak mampu aku peroleh dari sesiapa.
Kau tidak pernah mengajarku untuk terus hidup,
pabila kau sudah tiada disisi.

Tidak terbayang bila detik itu akan terjadi,
Apa aku mampu menerimanya?
Apa aku mampu menghadapinya?
Kerna aku tidak pernah dididik,
untuk hidup tanpa kehadiran seorang insan yang bergelar ibu buat diri.

P/s: Puisi ini telah ditulis oleh penulis bersempena pertandingan "Poetry Night Light of Arts and Culture Festival (LAF) IIUM 2017" 


Comments

Popular Posts