Dalam Lima Minit Aku,

by Ismie_Hazira



“If you’ve ever laid in bed and cried so hard to the point where you had to cover your mouth so you didn’t make any noise, I’m so sorry.”

#

Pintu ke bumbung nampak terusik, dengan mangga yang disangkut semula kepada penyangga tetapi dalam keadaan terbuka. Aku jadi berkira-kira untuk naik, sama ada sebagai penenang kepada jiwa seseorang, atau penyibuk kepada beban yang sedang diletakkan di atas kepalanya.

“Ah, peduli.” Aku tepis semua telahan yang menyinggah rasa.

Pintu ke bumbung aku kuak perlahan. Berkeriut bunyi besi lama itu ditolak dengan engsel yang mula menampakkan karat hitam disalut udara. Dingin malam menyapa tubuh, gigil mengigit tulang-tulang halus dibalut daging.

Pijak kaki pada lantai seboleh mungkin aku minimakan bunyi, tidak mahu menarik perhatian walaupun sesiapa.

“Ada.” Lega. Cukup dengan batang tubuh yang membelakangi aku, cukup membuatkan aku tenang yang dia masih dalam keadaan waras. Tapi kalau engkau berada di tempat aku ketika ini, pasti berserau juga darahmu.

Tebing bumbung sebagai benteng antara bangunan ini dan aras bawah sekali sedang dihuni dia. Duduk dengan posisi kedua belah kaki terjulur ke bawah, ke udara yang kosong seperti duduk-duduk di atas titi penyeberang sungai.

“Ehm.” Batuk kecil.

Dia senyap. Tidak endah.

“Syaitan, kejinya boleh saja menolak kau jatuh ke bawah.” Aku pecahkan sepi yang mendingin.

“Aku nak ambik angin.” Kedua tangan yang tadinya memegang benteng dinding dibawa ke riba.

Aku duduk di sisinya takut-takut.

“Syaitan, jahatnya akan menolak kau jatuh ke bawah.” Dia mengulang ayat aku.

“Retweet.” Aku menyambut, berharap ada garis yang memanjang di bibirnya.

“Tengok tu,” Harapan mati. Aku memanjangkan leher menuruti telunjuknya.

Tali rentang dengan gambar-gambar calon yang bertanding untuk pilihanraya umum kelihatan memenuhi sekitar kawasan kampus. Terbang ditiup angin malam.

“Esok, dengan rasminya aku digugurkan dari pencalonan.” Dia menyampaikan berita.

Aku tahu.

Dan yang sangat aku tahu.

Di dalam jiwanya sedang menggelodak seribu juta rasa.

“Kau,” Hesitating.

Dia pandang aku.

“Okey?” Aku tatap tepat bola matanya yang hitam.

Dia mengalih pandang.

Sepi suasana kembali mengambil alih.

Akhirnya esakannya pelan kuat sampai kepada telingaku. Dan tubuhnya semakin laju berhinggut sedu.

Malam itu, tangisan yang keluar daripada matanya nampak berbeza sangat dari yang biasa. Esakannya menjemput sedu sedan berbau hiba.

Akhirnya aku genggam tangannya, menjauhi benteng dinding yang seakan mempertaruhkan nyawa.

Setiap titis tangis yang keluar nampak pedih, dengan bunyi tertahan yang lirih. Entah apa yang dipendam bungkam di dalam jiwa. Aku tarik dia masuk ke dalam pelukanku.

Memujuk.

#

(Imbas Kembali)

Masing-masing diam seribu bahasa. Mujur saja keadaan taman yang agak terperosok itu jarang didatangi orang.

“Anak abah sihat?”

Dia biarkan soalan itu tidak berjawab.

“Tak beritahu abah pun jadi wakil kampus,” Kertas A4 yang ada pada tangan lelaki separuh abad itu diangkat. Dan pada kertas A4 itu ada wajahnya, nama penuhnya, dan tulisan huruf besar “CALON KERUSI UMUM”.

“Untuk apa?!” Kasar.

“Abah nak tahu juga perkembangan anak abah.”

“Eh!” Suaranya naik seoktaf. “Tak payah acah baik la.” Riak wajahnya memaparkan reaksi jijik.

“Sampai bila nak marah dengan abah?” Suara lelaki itu menjengah telinga.

“Selagi mana luka yang dah ditoreh pada jiwa mak masih basah dan berdarah !” Dadanya turun naik menahan marah yang membuak-buak.

“Abah tahu abah salah.”

Dia pejam mata. Kedua belah tangan terangkat tinggi ke angkasa.

Jiwanya telahkan hancur.

“Sebelum saya gila, tolong pergi,” Empangan mata telah pecah.

“Tolong, pergi !” Pipi telah basah.

“Abah rindu kau, nak.” Lelaki itu menghampirinya.

Dan setiap perkataan yang keluar, seakan memecahkan setiap bilah hati yang telahkan hancur.

“Pergilahhhhhh!!!!” Dengan mata yang terpejam, laungannya begitu nyaring, menakutkan burung-burung pada dahan pokok yang akhirnya bertempiaran.

“Abah pergi.” Lelaki tua itu akhirnya mengalah.

Usai bayang itu hilang dari pandangan, dada menjadi terlampau sesak entah terhimpit apa. Air mata degilnya seakan tidak faham maksud berhenti. Dan akhirnya dia terduduk melutut. Laungan dan rintihan bersilih ganti.

Seorang diri.

“Ya Allah, ampunkan aku.” Terlalu lirih suara itu berbunyi.

#

Keesokannya, kampus gempar dengan tular video seorang gadis menjerit-jerit di hadapan seorang lelaki menghampiri usia 50-an. Dengan tajuk besar yang sengaja dihitamkan;
“INIKAH CALON KERUSI UMUM YANG ANDA MAHU?!”

Kuasa media sosial yang terlampau pantas, disertai pula dengan group whatsapp kampus yang pelbagai, video itu tular dalam masa beberapa minit saja sebelum kuliah rasmi bermula jam 8.00 pagi.

Jam 8.30 pagi, dia dipanggil ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan dimaklumkan bahawa dia akan digugurkan dari pencalonan serta merta hari itu.

Tanpa sempat dia membela diri. Tanpa peluang dia menceritakan apa yang jadi. Yang ada, cuma dia sempat menyatakan bahawa itu propaganda yang direka pengikut calon lain untuk menjatuhkan dia, disebabkan peluangnya untuk menang kerusi umum tanpa bertanding adalah 80 peratus. Hujah ditolak tanpa bukti yang kukuh. Dia kalah dengan perjuangannya.

Dalam sekelip mata, hanya kerana sebuah video yang tanpa sahih kebenarannya, semua orang berubah. Dengan sekilas pandang, kebanyakan staf di jabatan itu berpaling daripadanya. Dan dengan sedetik waktu, dia hilang segala jenis kepercayaan daripada yang namanya manusia.

Dia ditinggalkan semuanya.

Sendiri.

#

Perit. Pedih.

Aku tahu semua cerita, dan dengan terkilannya, aku tidak mampu melakukan apa-apa untuknya. Hendak memutarkan fakta bahawa video itu palsu, sudah ada beberapa saksi yang mengiyakan kejadian terbabit berlaku malam tadi. Hendak menerangkan perkara sebenar, pekung dada yang dia simpan selama ini pasti akan pecah, sekaligus memalukan diri sendiri.

“Aku minta maaf, Izzah.” Rangkulanku semakin kuat.

‘Ya Allah, kami lemah, sesungguhnya. Kami serahkan segala urusan ini balik kepadaMu, wahai Pengurus Segala Urusan.’ Air mata tidak pernah faham maksud berhenti.

“Aku kecewa, Ain.” Dia mengambil nafas. “Aku sedih, sangat-sangat.” Parau suaranya tanda terlampau banyak menangis. “Hati aku pedih, sangat-sangat.”

“Allahuakhbar.” Sebak. Sungguh, aku terlalu sebak.
“Semoga Allah angkat semua masalah engkau,”

“Maafkan aku,” Kolam mata aku turut pecah.

“Tak Ain. Tak. Terima kasih sebab tak tinggalkan aku, dalam keadaan satu dunia tak percayakan aku.” Aku rasa pelukan Izzah semakin rapat.

“Terima kasih sebab ada dengan aku, percayakan aku, dan sabar dengan aku, dalam keadaan seluruh dunia tinggalkan aku.” Teresak-esak.

“Kau, rahmat paling besar dalam ujian Allah untuk aku,” Aku terpaku. Dalam keadaan dia diuji berat yang aku tahu aku tidak pernah akan tertanggungkan, sangkaan dia pada Allah masih lagi baik.

Teringatkan suatu hadis : Dari Abu Shuhaib bin Sinan r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya baik baginya. Dan yang demikian itu hanya ada pada seorang mukmin. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan jika mendapat musibah dia bersabar, maka sabar itu baik baginya. (HR. Muslim)

‘Dalam lima minit aku, untuk kau Izzah. Semoga sabarmu dalam musibahmu akan Allah balas.’ Aku berbisik.

“If you look inside them, you would see how much they really cries, you would find out so many secrets, lots of lies but what you’ll see the most is how hard it is to stay strong when nothing is right and everything is wrong.”
 – Unknown.

P/s: Artikel ini telah dikongsi oleh penulis di www.langitilahi.com (Klik di sini)

Comments

Popular Posts